KUALA LUMPUR, 31 Jan – UMNO Terengganu berharap kerajaan Pakatan
Harapan (PH) agar tidak ‘kluk klek’ dalam membuat keputusan berhubung
pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).
Timbalan Pengerusinya, Datuk Din Adam berkata sikap ‘kluk-klek’
berhubung perkara tersebut amat-amat mengecewakan kerana pembinaan ECRL
bakal memberi limpahan ekonomi dan manfaat yang cukup besar terhadap
penduduk di Pantai Timur khususnya di Terengganu.
Justeru tegasnya cukup-cukuplah berpolitik sebaliknya mengambil
langkah susulan yang tuntas dan membuat pertimbangan secara menyeluruh
dan bukannya membuat kenyataan yang saling bercanggah antara satu dengan
yang lain.
“Rancang dan fikirlah secara mendalam. Kami juga ingin tahu bahkan
rakyat Pantai Timur ternanti-nantikan keputusan terkini
berhubung pembinaan ECRL berkenaan. Siapa yang menentukan dan siapakah
yang mempunyai kata pemutus dalam soal tersebut.
Din yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun seterusnya menambah bukankah
kerajaan PH sering melaung-laungkan berjuang untuk rakyat dan tidak
perlulah lagi menoleh ke belakang dengan mencari kesalahan kerajaan
lalu.
Tambahnya dengan mandat yang diberikan, laksanakan apa yang patut dan
jika sesuatu projek pembangunan itu baik untuk rakyat apa salahnya
diteruskan dengan segera.
“Sikap ‘kluk-klek’ hanya akan menyerlahkan kelemahan kerajaan dan
kepimpinan pentadbiran hari ini. Jangan nanti kerajaan PH dilihat
sebagai sebuah kerajaan yang menjadi ‘pak lawak’,” tambahnya.
ECRL sekali lagi menjadi topik panas selepas terdapat percanggahan
mengenai keputusan pembinaannya samaada diteruskan atau sebaliknya.
Memetik laporan, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan berkata
beliau telah dinasihatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad agar tidak
membuat sebarang pengumuman ketika ini berhubung projek tersebut.-MediaUMNO