Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperkenalkan lima
formula yang harus diikuti oleh semua ahli UMNO untuk memastikan parti
kembali kukuh.
Jelas beliau, lima formula itu adalah menghentikan perbezaan
pendapat, turun ke bawah memenangi dan mengambil hati rakyat,
memantapkan kesepaduan, susun semula jentera dan pastikan calon pilihan
raya adalah ‘capable’, ‘acceptable’ dan ‘winnable’.
“Untuk kukuhkan parti kita mesti letak noktah untuk perbedaan
pendapat. Kita kena kukuhkan akar umbi, tarik bangsa India, Cina
termasuk orang asli untuk sokong UMNO.
“Kalau kita tidak bersatu padu, rancangan hanya akan tinggal atas
kertas. Bagi elakkan keadaan ini, saya dan rakan-rakan dalam Majlis
Tertinggi turun ke negeri-negeri sebagai satu pasukan demi kukuhkan
UMNO.
“Kita menang sebagai ADUN dan Ahli Parlimen bukan kerana kekuatan
peribadi tapi kerana UMNO dan jentera yang kuat. Jangan bila sudah jadi
ADUN dan Ahli Parlimen, ada ‘kedai dalam kedai'” ujar beliau ketika
berucap dalam program Jelajah Presiden bersama saf kepimpinan peringkat
negeri Perak.
Jelas Zahid, walaupun ada pihak yang mahu melihat UMNO dibubarkan namun perkara itu tidak akan terjadi sama sekali.
“Saya sudah bertemu dengan orang nombor satu di negara ini… saya juga
sudah bawa timbalan dan naib presiden. Saya seolah-olah diarah untuk
bubarkan UMNO dan sertai parti mereka.
“Tapi jangan harap kita akan lompat parti… jangan harap saya bubarkan
UMNO kerana saya tidak mahu muka saya diludah… saya tidak mahu kubur
saya digenangi najis kerana bubarkan UMNO.
“Demi Islam, UMNO dan Melayu… saya tidak redha bubarkan UMNO kerana
saya yakin tiga juta ahli UMNO tidak rela parti ini dibubarkan,” tambah
beliau lagi. – MediaUMNO