Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menemui ketua pengarang
akhbar berbahasa Cina dan memberi peringatan bahawa beberapa parti
politik dan individu-individu sedang memainkan sentimen masyarakat
Melayu dengan menggunakan isu ICERD dan isu-isu perkauman lain adalah
amat mendukacitakan, demikian kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul
Hamid Mohamad.
Jelas beliau, tindakan Lim bertemu dengan pengarang-pengarang akhbar
berbahasa Cina ini dilaporkan oleh sebuah portal berita pada hari yang
sama kerajaan mengeluarkan kenyataan untuk tidak meratifikasikan ICERD.
“Saya ingin bertanyakan beberapa soalan kepada beliau, mengapa Lim Guan
Eng hanya memanggil pengarang akhbar berbahasa Cina sahaja jika beliau
mahu membuat kenyataan akhbar, sedangkan beliau ada seorang menteri
kerajaan Persekutuan.
“Adakah sesuatu yang tersembunyi di sebalik pertemuan tersebut yang beliau tidak mahu orang-orang Melayu mengetahuinya?
“Dan mengapa selepas kenyataan kerajaan itu (tidak meratifikasikan
ICERD) dikeluarkan pun, orang-orang yang menentang ratifikasi ini masih
dianggap sedang memainkan sentimen Melayu dengan menggunakan isu ICERD
ini?” soalnya tegas.
Beliau berkata demikian ketika memberi ucaputama pada Kongres Menolak
ICERD yang dianjurkan Sekretariat Kedaulatan Negara (Daulat) dan
Gerakan Pembela UMMAH bertempat di PWTC di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tun Hamid juga menegaskan bahawa orang Melayu
menentang ICERD kerana percaya ia bercanggah dengan perlembagaan dan
juga percaya ia akan menghakis, malah menghapuskan hak keistimewaan
orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.
“Kita bukan memainkan sentimen masyarakat Melayu dengan menggunakan
isu ICERD ini. Untuk apa kita memainkan sentimen masyarakat Melayu tanpa
sebarang tujuan? Mengapa menjolok sarang tebuan?
“Saya perhatikan, setiap penulis, baik daripada parti-parti Melayu,
NGO Melayu, individu-individu Melayu, yang menentang ICERD di cop
sebagai rasis. Apa yang peliknya, orang Melayu yang mempertahankan hak
mereka seperti yang telah dipersetujui dan termaktub di dalam
Perlembagaan dikatakan rasis.
“Tetapi orang bukan Melayu yang hendak mengambil hak orang Melayu
tidak pula dikatakan rasis? Sejak dari awal lagi, kita sudah menegaskan,
bahawa kita menentang ICERD kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan.
“Kita tidak mahu peruntukan-peruntukan hak keistimewaan orang Melayu
dan anak-anak Sabah dan Sarawak di mansuhkan. Dalam kata-kata lain, kita
mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.
Kata Tun Hamid, melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan
Pakatan Harapan (PH) berhubung tidak meratifikasikan ICERD, kerajaan
menyatakan ICERD tidak akan diratifikasikan kerana kerajaan
mempertahankan perlembagaan Persekutuan.
“Ertinya, apa yang dilakukan oleh orang Melayu hari ini dan apa yang
dilakukan oleh kerajaan adalah sama, iaitu mempertahankan perlembagaan
Persekutuan.
“Maka jika kerana mempertahankan perlembagaan Persekutuan, orang
Melayu dituduh rasis, adakah atas hujah yang sama kerajaan PH juga rasis
dengan tidak meratifikasikan ICERD kerana ingin mempertahankan
perlembagaan?
“Jika tindakan kerajaan PH menolak ratifikasi ICERD kerana mahu
mempertahankan perlembagaan Persekutuan tidak rasis, jadi mengapa
menuduh mereka yang mempertahankan perlembagaan ini sebagai rasis?
“Sedangkan kedua-duanya melakukan perkara yang sama iaitu
mempertahankan perlembagaan Persekutuan? Itu adalah logik yang sangat
mudah yang sepatutnya difahami oleh mereka yang menuduh orang Melayu
rasis kerana menolak ICERD,” ujarnya lagi.-MediaUMNO
Apa Yang Guan Eng Cuba Sembunyikan? Tuduh Ada Pihak Guna Isu ICERD Bangkitkan Sentimen Melayu – Tun Hamid
0
November 26, 2018
Tags