Empat muka baru terajui UMNO Terengganu


KUALA TERENGGANU - Pemilihan Umno Terengganu menyaksikan empat muka baharu dipilih bagi menyandang jawatan ketua Umno bahagian manakala tiga yang lain kekal dan satu calon menang tanpa bertanding.

Jawatan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu yang dilepaskan penyandang, Datuk Mohd Sabri Alwi sebelum ini, kini digalas Datuk Wan Hisham Wan Salleh menewaskan pencabarnya, Ahmad Fanizar Md Tahar.

Wan Hisham memperoleh 524 undi manakala lawannya, bekas Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Ahmad Fanizar mendapat 196 undi.

Selain itu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku menang mudah bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Marang dengan mendapat 803 undi menewaskan pencabarnya, Abdul Mutalib Samion yang hanya memperoleh 130 undi.

Umno Bahagian Setiu kini diterajui kepimpinan baharu setelah penyandangnya, Datuk Mohd Jidin Shafiee mengumumkan tidak bertanding, jawatan itu dimenangi Datuk Sabri Mohd Noor yang menewaskan pencabarnya, Mohd Zaimi Abd Ghaffar.

Sabri menang selesa dengan memperoleh 886 undi mengalahkan Mohd Zaimi yang mendapat 38 undi.

Pemilihan Umno Terengganu kali ini menyaksikan kejutan besar setelah jawatan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus sebelum ini disandang bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menjadi milik Apli Yusoff.

Apli yang sebelum ini merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus menang majoriti 41 undi menewaskan Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Razif yang mendapat 424 undi.
Pemilihan itu turut menyaksikan tiga Ketua Umno Bahagian kekal iaitu Nawi Mohamad (Besut), Datuk Din Adam (Dungun) dan Datuk Seri Ahmad Said (Kemaman).

Nawi dicabar Ahli Jawatankuasa Umno bahagian, Ghazali Che Noh manakala Din dicabar pada pertandingan satu lawan satu menentang Adun Bukit Besi, Roslee Daud manakala Ahmad menang dalam pertandingan menentang Mat Dalam Awang.

Dalam pemilihan itu, Nawi menang majoriti 512 undi mengalahkan Ghazali yang hanya mendapat 200 undi sementara Din mendapat 455 undi menewaskan Roslee yang hanya berpuas hati dengan 283 undi.

Manakala, kedudukan Ahmad Said menepati ramalan setelah menang 570 undi menewaskan Mat Dalam yang mendapat 126 undi.

Sementara itu, pemangku jawatan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat yang memegang jawatan itu setelah penyandangnya, Datuk Seri Jailani Johari meletak jawatan, menang tanpa bertanding.

Pemilihan Umno Terengganu menyaksikan tujuh daripada keseluruhan lapan ketua Umno bahagian di negeri ini dicabar pada pemilihan yang berlangsung semalam. -SH


Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.